Ibu tua: “Mak halalkan pada cucu-cucu mak tetapi jika orang lain yang makannya, mak TAK HALAL.”
Apa perasaan anda apabila seorang ibu tua berkata begitu? Tiadakah rasa gentar dan bimbang dalam hati atas keyakinan yang hidup pasti akan mati? Tiadakah rasa takut jika rasa terkilan ibu tua ini membawa ke hujung nyawanya dan keadaan itu tidak dapat diperbetulkan lagi? Sebagai anak, sanggupkah anda melihat dia berterusan dalam keadaan itu, menunggu dalam kecewa, dianiaya dan membiarkan kemungkaran berlaku di depan mata?
Inilah antara isu faraid yang dihadapi masyarakat Islam: Isu pengurusan dan pembahagian pusaka yang tertangguh dan dilengah-lengahkan; penyelewengan dan isu hak waris faraid yang diketepikan; penipuan zuriat bila ada anak angkat; pentadbir yang tidak amanah; menolak ketetapan hukum sebagaimana disebut dalam Surah An-Nisa: ayat 11,12 dan 176.
Dalam kisah ibu tua di atas, isu keluarga isteri ingin membolot pusaka ditimbulkan. Benarkah keluarga isteri ingin bolot harta? Bagaimana keadaan ini boleh terjadi?
“Kakak saya ni mempunyai seorang anak perempuan dan membela seorang anak angkat perempuan. Ibu saya saksi utama pengambilan anak angkat itu. Namun suami kakak saya mendaftarkan anak itu bukan sebagai anak angkat tetapi anak kandung, berBINTIkan namanya sendiri,” permulaan kisah beberapa hari lalu.
Kakaknya itu sudah meninggal lima tahun lalu. Baru-baru ini suaminya pula meninggal dunia. Yang membuat dia penasaran apabila si ibu sering mengadu dan merungut kenapa sehingga sekarang dia masih belum mendapat bahagian faraid anaknya? Ibu sebagai waris faraid, memang ada hak atas pusaka anak perempuannya itu. Sebelum menutup mata, dia ingin merasa. Apatah lagi dalam usianya yang sudah semakin lanjut dan sakit-sakit pula.
Sebagai adik, dia berasa ada sesuatu yang tidak kena dengan pembahagian faraid kakaknya itu. Sebelum dia bertindak, dia perlu dapatkan kepastian daripada ibunya – adakah ibu ini rela dan redha melepaskan bahagiannya ataupun sebaliknya?Ternyata ibunya tidak redha sepenuhnya. Jika bahagiannya itu dimakan oleh darah daging (cucu), dia redha tetapi jika orang lain, dia tidak redha sama sekali.
Isu faraid tidak boleh diambil mudah kerana ia membabitkan halal dan haram, yang jika dimakan akan menjadi darah daging. Dia ingin memperbetulkan keadaan dan menghalang keluarga anak saudara angkatnya daripada terus termakan harta batil. Dia juga ingin memperbetulkan salah tanggapan si ayah, yang dipahat dalam pemikiran anak-anak bahawa keluarga ibu mereka ingin membolot harta!
Di sinilah terletaknya kesilapan si ayah. Ayah mengetahui bahawa sekira isterinya meninggal dunia, keluarga isteri mempunyai hak ke atas pusaka isteri berdasarkan hukum faraid. Atas alasan itu, setelah kematian isteri, keluarga isteri sering diburuk-burukkan sehinggakan mempengaruhi pemikiran anak-anak perempuannya.
Baru-baru ini, si ayah pula meninggal dunia. Semua salah faham yang diterap dan dipasak dalam pemikiran anak membuat mereka benci keluarga sebelah ibu. Anak kandung keluarga itu, memutuskan untuk menjauhkan diri dan membuat laporan polis, konon bagi melindungi dirinya sedangkan anak itu masih bawah umur lagi…
Untuk memahami benarkah keluarga isteri ingin bolot harta, mari kita lihat waris atau struktur faraid si isteri.
Struktur faraid isteri
Ibu
Suami
Seorang anak kandung perempuan
Seorang anak angkat
2 saudara lelaki
1 saudara perempuan
Siapakah yang berhak dan berapakah bahagiannya setiap seorang?
Bahagian mengikut hukum faraid
Suami – ¼ bahagian
Ibu – 1/6 bahagian
Anak perempuan kandung (seorang) – ½ bahagian
Anak angkat – tiada bahagian
2 saudara lelaki, 1 saudara perempuan – nisbah 2:1
Andaian pusaka dimiliki SEJUTA (RM1,000,000)
Bahagian Suami (1/4 = 15/60) – RM250,000
Anak perempuan (1/2 = 30/60) – RM500,000
Ibu (1/6 = 10/60) – RM166,666.66
2 saudara lelaki (1/15 = 4/60) – RM66,666.66 atau RM33,333.33 setiap seorang
1 saudara perempuan (1/60) – RM16,666.66
Anak angkat – zero (tiada hak ke atas pusaka)
Jika dilihat, hanya ¼ bahagian pusaka saja jatuh kepada keluarga isteri sedang ¾ bahagian adalah hak anak dan juga suami. Anak angkat sekalipun berbintikan ayah angkatnya, memang tiada bahagian di situ kerana dia bukan waris faraid!
Ini kerana hak mewarisi atau pusaka mempusakai adalah berasaskan hubungan nasab (qarabah) ataupun menerusi perkahwinan yang sah.
Masalah timbul apabila menantu minta ibu mentua tandatangani satu dokumen tanpa memberikan penjelasan terperinci. Mentua yang sudah lanjut usia itu beranggapan, surat atau dokumen yang ditandatangani itu adalah kebenaran bagi membolehkan menantunya menguruskan pusaka isterinya.
Dan ibu tua ini pun terus menunggu… Dia sering bertanya pada anak-anaknya yang lain kenapa dia masih belum dapat bahagian pusaka anaknya itu. Dia tahu anak perempuannya itu berharta, ada kerjaya yang bagus, miliki rumah dan tanah, wang simpanan termasuk caruman KWSP. Sebahagian wang KWSP sudahpun dikeluarkan menantu tetapi sesenpun dia tak rasa…
Setelah kematian menantu, baru semuanya terbongkar. Rupa-rupanya dokumen yang ditandatangani ibu sebelum ini adalah dokumen MELEPASKAN bahagian dan si ibu tidak boleh membuat sebarang tuntutan ke atas pusaka itu! Kasihan si ibu. Kepercayaannya dikhianati menantu sendiri…
Justeru, bagaimana untuk merungkaikan permasalahan pusaka yang rumit ini?
Ia rumit kerana anak angkat yang sepatutnya tiada hak, dapat bahagian disebabkan ‘penipuan’ ayah angkatnya. Anak perempuan yang masih bawah umur itu pula sudah membuat laporan polis, menghalang keluarga ibunya daripada menghampiri.
Selagi waris faraid itu tidak boleh duduk berbincang semeja, tiada muafakat, selagi itulah pengurusan pusaka ini akan tergantung dan tertangguh.
Apa kesannya kepada kedua-dua arwah ini tadi? Bagaimana pula pusaka yang diambil oleh anak angkat itu?
Adik arwah yang memahami situasi cuba membantu dan memperbetulkan kesilapan yang dibuat oleh arwah kakak dan abang iparnya dulu. Tiada cara selain bersemuka dan berbincang dari hati ke hati dengan anak angkat arwah kakaknya agar dia dapat memulangkan bahagian yang bukan miliknya. Dia tidak mahu ibunya terus rasa terkilan. Jika usahanya itu tidak berhasil, sekurang-kurangnya dia sudah berusaha untuk menegakkan kebenaran.
Sebagai orang Islam yang meyakini bahawa kematian itu adalah permulaan bagi hidup yang abadi, dia cuba meringankan beban mereka berdua yang telah tiada.
Mengenai anak saudara perempuannya, dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana laporan polis itu melindungi anak itu daripada ‘gangguan’ sebelah keluarganya. Dia berharap saudara angkat anak itu mampu memujuknya.
Kesan permasalahan pusaka ini, akan menyebabkan semakin bertambah nilai HARTA BEKU yang dianggarkan lebih RM60 bilion! Yang menyedihkan, hampir 90% adalah harta pusaka milik orang Islam.
Catatan penulis: Kisah ini adalah berdasarkan kisah benar sebagaimana yang diceritakan kepada penulis. Tiada hasrat untuk mengaibkan mana-mana pihak. Semoga apa yang berlaku ini dapat menjadi pedoman dan teladan. Buatlah perancangan harta semasa hidup sebelum terlambat.