,

Bermula sebab rasa bersalah

Panggilan telefon seorang ibu yang kematian anak tunggal perempuannya pada satu petang di tahun 2014 membuatkan saya rasa bersalah. Anak perempuannya itu masih muda, baru berusia 32 tahun, bekerja sebagai eksekutif pengiklanan, bermatlamat, bijak merancang dan mengumpul wang.

Setiap bulan dia akan mengasingkan sebahagian pendapatan untuk dilaburkan dalam unit dana amanah, kembangkan sarang persaraannya menerusi Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan juga mengambil perlindungan takaful.

Saya menjadi penasihat peribadinya. Saya berkongsi pengetahuan dengannya bagaimana untuk mengumpul kekayaan (wealth accumulation), melindungi kekayaan (wealth preservation) tetapi saya tidak berkongsi pengetahuan mengenai pengagihan kekayaan (wealth distribution).

Perkongsian saya padanya tidak komprehensif. Akibat kegagalan saya itu telah menyusahkan ibu serta dua orang anaknya yang masih kecil apabila dia meninggal dunia.

Temu janji diatur pada petang itu juga bagi membolehkan saya ke rumah ibunya di Sungai Pencala. Rumahnya rumah kampung. Terletak agak tinggi di cerun dengan lorong masuk yang agak sempit.

“Saya tak tahu bagaimana nak urus… Saya perlukan duit untuk dua orang cucu saya tu…” dia memulakan cerita. Ketika itu semua harta pusaka peninggalan anak tunggalnya itu sudah dibekukan.

Untuk mencairkan harta pusaka, permohonan tuntutan pusaka perlu dibuat berdasarkan kategori pusaka dimiliki. Ia bukan boleh diselesaikan dalam sehari dua. Ambil masa berbulan-bulan. Jika tidak lengkap mungkin akan ambil masa bertahun-tahun.

Situasi itu membuatkan saya bertambah tertekan dan bersalah. Seandainya saya mempunyai kepakaran mengenai pewarisan harta dan pusaka sebelum itu, pasti ibu pelanggan saya itu tidak berdepan kesukaran menuntut harta pusaka anak tunggalnya.

Ibu itu berada dalam keadaan tersepit. Kedua-dua cucu di bawah jagaannya masih kecil. Seorang berusia 5 tahun dan seorang lagi 4 tahun. Mereka didaftarkan di sebuah tadika berprestij di Damansara Utama.

Pengajian pra sekolah kedua-dua cucunya itu terpaksa dihentikan. Yurannya mahal. Mereka tidak mampu membayar yuran tadika ratusan ringgit sebulan. Suaminya hanya pesara tentera manakala dia, surirumah.

Menantunya pula mengasingkan diri. Hanya sekali-sekala saja datang menjengok anak-anaknya.

“Ada cara tak saya boleh keluarkan pelaburannya dalam saham amanah?” Dia bertanya bila saya tunjukkan penyata terkini unit dana amanah arwah yang saya bawa bersama.

Saya menggelengkan kepala. Anaknya tidak meletak penama dan saya juga tidak menekankan kepentingan meletak penama dalam pelaburan unit amanah memandangkan usianya masih muda.

Mati tidak mengenal usia. Hakikat itu membuatkan semakin bertambah-tambah rasa bersalah saya…

Perancangan hidup seharusnya dibuat menyeluruh bukan saja ketika masih bernafas tetapi juga selepas mati demi kelangsungan hidup waris yang ditinggalkan.

Walaupun ada wang simpanan, setelah mati wang itu tidak dapat digunakan kerana dibekukan selagi permohonan tuntutan pusaka tidak dibuat untuk mencairkan atau mengeluarkannya.

Si ibu berdepan masalah besar kerana menantunya tiada kesedaran untuk membuat permohonan pengurusan pusaka itu dengan segera.

Yang menjadi mangsa adalah kedua-dua orang cucunya yang masih kecil. Sudahlah mereka hilang kasih sayang seorang ibu, kehidupan mereka turut berubah secara drastik apabila ditinggalkan bersama datuk, berjauhan dari ayah. Hanya pada datuk dan nenek saja mereka dapat menumpang kasih.

Peristiwa itu umpama wake-up call bagi saya peri pentingnya memberi kesedaran kepada masyarakat Islam mengenai pewarisan harta dan pusaka. Ia termasuk memahami perundangan Islam terutamanya ilmu faraid.

Saya mula belajar mengenai perancangan dan pewarisan harta Islam ini dengan lebih mendalam. Saya hadiri semua kursus-kursus dan seminar yang dianjurkan bagi meluaskan pengetahuan. Bertimbun-timbun buku mengenai pewarisan harta, saya beli dan baca.

Akhirnya saya mendaftarkan diri menjadi perunding atau dai’e sebuah syarikat berhad yang menawarkan perkhidmatan perancangan pewarisan harta dan pusaka di Malaysia.

Syarikat ini menjadi pilihan kerana matlamat utama penubuhannya adalah untuk memartabatkan undang-undang Syariah dengan mengharmonikan undang-undang sivil dan syariah. Yang buat saya lebih tertarik, semua dokumen dan cara pelaksanaannya patuh Syariah!

Kini dengan adanya pengetahuan dan pengalaman, saya yakin dapat membantu dan memberi kesedaran kepada ramai dikalangan masyarakat Islam di luar sana betapa pentingnya untuk membuat perancangan pewarisan harta demi kebahagiaan keluarga yang bakal mereka tinggalkan.

Saya dapat membantu waris mereka membuat tuntutan pusaka dengan mudah dan cepat, elak harta yang ditinggalkan itu menjadi lama terbeku, sekaligus membendung peningkatan pada RM70 bilion harta beku orang Islam sedia ada!

Apabila harta pusaka ini mudah diwarisi, survival ahli keluarga mereka terjamin. Gaya hidup keluarga tidak berubah terlalu drastik , keluarga ditinggalkan dalam keadaan selesa dan kurang tertekan. Perancangan yang dibuat itu bagaikan pengganti, memelihara kebajikan mereka, menjadi pengubat rindu pada insan yang telah tiada.

Bahagia keluarga yang hidup, tenang roh yang pergi.

Boleh join Tanya Apa Saja Pasal Harta dan Pusaka di telegram channel https://t.me/pusakaexpert

Bermanfaat? Kongsikan pada yang lain :
Share on facebook
Share on whatsapp
Share on twitter
Share on email
Share on telegram

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Suraiya Mohd Nor

Penulis blog

Berpengalaman 20 tahun dalam bidang kewartawanan sebelum terbabit dalam industri kewangan dan pewarisan harta & pusaka.

Suraiya

popular blog

Promosi

Buka Whatsapp
Perlukan bantuan?
Hai, saya Suraiya.
Anda mempunyai sebarang soalan atau perlukan bantuan? Chat saya di whatsapp.