,

Apabila waris persoal khidmat perunding

 

“Mereka yang buat perancangan harta dengan puan ni selalu mati ke?”Seorang waris bertanya.

Pertanyaan yang tidak diduga itu buat saya tersentak. Ini kali ketiga saya urus kematian peserta yang buat perancangan pewarisan dengan saya. Ketiga-tiganya tinggal di rumah berdekatan. Cuma  berbeza lorong di perkampungan Felda Jengka, 23, Pahang. Setelah selesai membuat perancangan pewarisan harta, seorang demi seorang meninggal dunia.

Terasa bagaikan malaikat maut pula bila ditanya begitu! “Sudah ajal, ketentuan yang ditetapkan takdir.  Mati adalah rahsia yang hanya Allah SWT saja yang tahu.” Jawab saya.

Pertanyaan itu diajukan bila saya datang ke rumah waris setelah diberitahu mengenai kematian ayahnya dua minggu lalu.

Dua bulan sebelum itu, saya telah bertemu dengan arwah bapanya yang terlantar uzur dek sakit tua. Namun ingatannya masih utuh. Dia tahu dan sedar apa yang dia buat. Malah dia yang meminta anaknya yang juga waris faraidnya untuk menghubungi saya. Bapanya ingin membuat dokumen pewarisan harta setelah pegawai syarikat kami memberikan taklimat di dewan orang ramai Felda Jengka 23, tidak berapa lama dulu.

Kedatangan saya pada masa itu adalah untuk melengkapkan dokumentasi hibah yang dibuat dengan membuat akad hibah. Penerimanya, anak lelaki tunggal yang dilantik sebagai pentadbir atau pemegang amanah. Dia yang akan mengagihkan manfaat kepada adik-beradik perempuannya yang lain termasuk ibunya. Hadir sama, dua orang saksi lelaki yang terdiri daripada jiran-jiran sebelah rumah.

Hartanah Felda jika tidak dibuat perancangan pewarisan awal akan menyukarkan waris untuk menuntut hak. Ini kerana ia tertakluk bawah Akta Tanah Berkelompok 1960 yang memperuntukkan hanya dua nama saja boleh dimasukkan dalam geran. Bagaimana jika warisnya 4 orang? Adakah yang dua orang lagi itu terpaksa melepaskan hak mereka?

Inilah cabaran pemilikan hartanah Felda dan Felcra yang tertakluk bawah Akta Tanah Berkelompok 1960. Sekiranya tidak diurus dan dirancang dengan baik sebelum seseorang itu meninggal dunia, ia boleh membawa perpecahan dan permusuhan antara ahli keluarga. Kes begini banyak berlaku. Ada anak yang tidak mahu kembali ke tanah rancangan Felda kerana isu ini. Mereka biarkan saja waris lain ambil hasil sedangkan geran tanah masih lagi atas nama si mati. Masing-masing tidak mahu berkompromi.

Soalan itu diajukan setelah selesai taklimat kepada adik-beradiknya sebagai ahli waris setelah ayah mereka meninggal dunia. Saya datang bersama dua orang pegawai syarikat ke rumah mereka bagi memberi penerangan dan penjelasan atas rancangan pewarisan harta yang dibuat ayah mereka. Kami datang pada hari dan waktu yang mereka tetapkan sendiri.

Dengan adanya dokumentasi perancangan itu:

  • Ia memudahkan dan menyenangkan waris.
  • Urusan permohohan tuntutan pusaka dapat dibuat cepat.
  • Waris tidak perlu datang ke pejabat kami beramai-ramai di Kuala Lumpur tetapi kami yang akan menyantuni mereka di mana saja mereka berada.
  • Waris dibantu tenaga pakar yang berpengetahuan dan berkemahiran urus pusaka.
  • Waris dapat perkhidmatan PERCUMA tanpa perlu mengeluarkan sebarang belanja atas perkhidmatan kami itu.
  • Semuanya sudah ditanggung sebagaimana tercatat dalam syarat langganan perkhidmatan yang disertai.

Bahagia keluarga yang hidup, tenang roh yang pergi.

Ketika dalam kenderaan, saya teringatkan soalan waris tadi. Ia buat saya ketawa kerana yang pasti saya masih lagi bernyawa dan hidup segar-bugar sehingga kini!

Masih adakah hari esok? Yang itu saya tidak pasti… Yang pasti, syarikat kami sebagai sebuah syarikat amanah akan kekal untuk membantu waris pelanggan kami berdasarkan undang-undang. Syarikat amanah tidak akan bungkus, tutup ataupun hilang…

Bermanfaat? Kongsikan pada yang lain :
Share on facebook
Share on whatsapp
Share on twitter
Share on email
Share on telegram

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Suraiya Mohd Nor

Penulis blog

Berpengalaman 20 tahun dalam bidang kewartawanan sebelum terbabit dalam industri kewangan dan pewarisan harta & pusaka.

Suraiya

popular blog

Promosi

Buka Whatsapp
Perlukan bantuan?
Hai, saya Suraiya.
Anda mempunyai sebarang soalan atau perlukan bantuan? Chat saya di whatsapp.