
Tidak ramai yang mengetahui kepentingan wasiat. Dulu-dulu sering kita dengar orang-orang tua kita tinggalkan wasiat kepada anak-anak sebelum mereka mati. Ada wasiat yang dipatuhi dan ada juga yang tidak.
Dalam Islam, wasiat yang juga disebut sebagai pesanan tidak mengikat waris-waris untuk mematuhinya. Wasiat kepada waris bergantung kepada persetujuan dan muafakat ahli waris lain sama ada untuk menerima ataupun menolak.
Justeru, dalam keadaan mana seharusnya wasiat dibuat? Dikongsikan 3 sebab utama kenapa anda perlu buat wasiat.
1. Harta anda melebihi RM2 juta.
Sekiranya anda mempunyai harta bernilai lebih RM2 juta anda perlu buat wasiat. Wasiat ini bertujuan melantik Wasi ataupun pentadbir kerana permohonan tuntutan pusaka perlu dibuat di Mahkamah Tinggi. Pentadbir ini boleh dari kalangan waris sendiri ataupun mana-mana syarikat amanah. Jika melantik pentadbir dari kalangan waris anda perlu ketahui prosedur tuntutan dan adakah syarikat di mana anda membuat dokumen pelantikan wasi itu mampu mengendalikan urusan harta pusaka anda ataupun tidak.
Dengan adanya Wasi urusan pusaka jadi lebih mudah. Ini kerana jika tidak melantik Wasi, waris anda mungkin perlu menyediakan dua orang penjamin apabila membuat permohonan pusaka di Mahkamah Tinggi.
2. Ingin pahala berpanjangan daripada harta yang ditinggalkan.
Ketika masih hidup, anda boleh merancang bagaimana harta anda itu boleh memberi manafaat meskipun anda tiada lagi di dunia ini. Anda boleh buat wasiat. Wasiat itu dipanggil sebagai wasiat satu pertiga. Wasiat satu pertiga ini adalah wasiat amal jariah di mana anda ingin menginfakkan sebahagian harta anda bagi tujuan wakaf, sedekah dan lain-lain bentuk kebajikan. Jumlah yang boleh diinfaqkan hanya 1/3 saja daripada nilai keseluruhan harta anda. Semasa hidup buatlah wasiat 1/3 ini bagi memastikan harta anda itu dapat membantu kehidupan akhirat. Jangan tunggu orang lain. Harta anda, hak milik anda sebaiknya rancanglah sendiri!
3. Ada anak angkat
Hak anak angkat memang sudah ketahui. Anak angkat tidak berhak mewarisi harta ibu atau bapa angkatnya. Sebagai tanda kasih sayang boleh buat wasiat meninggalkan sebahagian harta kepada mereka. Pastikan nilainya tidak melebihi 1/3 daripada harta anda secara keseluruhan.
(Boleh join Tanya Apa Saja Pasal Harta dan Pusaka di channel Telegram https://t.me/pusakaexpert)
Membuat perancangan harta adalah antara perkara yang wajar anda pertimbangkan. Ia akan memudahkan waris anda di kemudian hari. Sekiranya anda berada dalam dua situasi di atas selain mahukan pahala berpanjangan, membuat wasiat adalah jalan terbaik dan cepat.